Friday, April 6, 2012

RENCANA KESEDARAN - PUISI PERJUANGAN


Puisi Perjuangan: Perjuangan Pangkal Kejayaan (1947)

PERJUANGAN PANGKAL KEJAYAAN
oleh Masuri S.N. (Martina)

Sejak dahulu turun temurun,
Berzaman-zaman berkurun2,
Sejarah menukilkan, riwayat menyebutkan,
Perjuangan itu pangkal kejayaan.

Bukankah sesudah hujan lebat,
Segala tumboh2an segar sehat,
Bukankah setelah air bah melimpah,
Sekali pantai berubah!

Bila waktu mencapai hujung usaha,
Adakah hasil atau kecewa,
Maka berjuang hebat itulah penutup kata,
Pemutus akhir hina atau mulia.

Bukankah berjuang itu maha dahshat,
Hebat ngeri payah gelisah resah,
Tetapi berjuang juga akan jadi hebat,
Bagi Perwira yang berhati tabah.

Kerana itulah disaat pembangunan ini,
Jiwa semangat kita mesti tahan uji,
Berjuang sajalah lambang kita kini,
Dalam menchapai cita2 suchi.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 4, Apr 1947


Artikel dari majalah Kenchana, Feb 1947

RAKYAT JELATA MELAYU JANGAN DIPERBODOHKAN TERUS!

Soal Malayan Union sudah dapat dirobohkan oleh Orang Melayu Am apabila mereka ketahui Sultan-sultan Tanah Melayu menjualkan Kemerdekaan Negeri Melayu kepada Kerajaan Inggeris dengan tidak berunding dan tidak setahu Rakyat Jelata Melayu… dan kemudian orang Melayu dapat menebusnya semula.

Tetapi malang Tanah Melayu yang baharu ditebus oleh Rakyat Jelata itu telah hendak dimasukkan semula ka dalam lukah Inggeris oleh Raja-raja Melayu dan Penganjur-penganjurnya yang memikirkan dirinya telah penuh berkuasa diatas Rakyat Jelata. Pekerjaan nya ini juga dengan tidak berunding dengan Rakyat Jelata dan telah pandai-pandai berunding dengan Kerajaan Inggeris merancangkan pula PERSEKUTUAN NEGERI MELAYU, konon!

Apabila cadangan Persekutuan Negeri-negeri Melayu dizahirkan kepada pengetahuan ramai, Rakyat Jelata Melayu telah sama membantah tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana cadangan itu tidak berunding dengan Rakyat Jelata. Cadangan dalam Perlembagaan baharu itu tidak berdasar Demokratik! Cadangan itu tetap tidak mementingkan nasib Rakyat Melayu Jelata. Cadangan itu hanya untok faedah Raja-raja Melayu dan Orang Besar-besarnya sahaja.

Bertambah malang nasib orang Melayu Jelata, apabila mereka bersuara membantah cadangan Perlembagaan baharu itu lalu mereka dituduh dan dicap Menderhaka oleh Raja- raja Melayu dan orang-orang Besar serta Penganjur- penganjurnya yang hendak menipu rakyat Jelata.

Pehak Kencana tetap berdiri di sisi Rakyat Melayu Jelata dan mempertahankan Kedaulatan Rakyat, dengan sebab itu bersama-sama dengan Rakyat Melayu Jelata membantah cadangan Perlembagaan baharu Malaya itu tidak sah karena rancangan itu hanya diperbuat oleh 12 orang yang dilantik oleh Kerajaan Inggeris, bukan dari Rakyat Jelata yakni tidak berdasarkan Kedaulatan Rakyat.

Kerajaan Inggeris, Raja- raja Melayu dan orang-orang Besar Melayu patut mesti sedar, yang Rakyat Jelata Melayu masa ini bukan boleh disamakan seperti masa sabelum perang yang baharu lepas ini atau saperti orang Melayu zaman dahulu kala hanya menyerahkan nasibnya dan jiwa raganya kapada Raja-rajanya, atau kapada orang Besarnya.

Orang Melayu hari ini telah sedar dan mengerti tanggungan mereka ke atas Tanah Airnya dan Bangsanya, mereka tidak reda nasib mareka diperjudikan oleh Rajanya atau oleh Penganjurnya kerana kepentingan diri Raja-raja dan Penganjur- penganjur itu, mereka berkehendakkan kemuliaan hidup dan Kemerdekaan Bangsa dan Tanah Airnya.

Sebab itu disini Kencana berseru dan mencadangkan kapada Kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu serta Penganjur-penganjur Melayu iaitu berhubung dengan pemerentah Malaya yang akan datang mestilah memakai Kedaulatan Rakyat yang sebenar, serta corak pemerentahan yang hendak diadakan itu mestilah berunding dan dapat persetujuan dari Rakyat Melayu Jelata, bukan hanya dengan Raja- raja dan orang Besar-besar Melayu yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.

Di sini juga Kencana memperingatkan kapada saudara- saudara sebangsa dan setanah air supaya lebih ingat dan berjaga-jaga kena pelemah dari Kerajaan dan bangsa-bangsa dagang yang hendak masukkan kita ke dalam perangkap mereka.Orang Melayu mesti sedar iaitu orang Melayu boleh merdeka dan layak merdeka saperti bangsa yang merdeka dalam dunia ini.

Lagi Kencana memperingatkan yang bangsa kita terjajah beratus tahun lamanya, dan kita telah berserah bulat nasib kita ke tangan Raja-raja dan orang Besar-besar dan akhirnya hingga hari ini kita telah nampak terang yang nasib bangsa Melayu amat buruk iaitu: bodoh, miskin, melarat dan terhimpit, kalah dalam segala perjuangan.

Maka semuanya ini kerana hanya kita percaya dan taat kepada KETUA- KETUA kita yang tidak mengindahkan nasib bangsanya, sebab itu bangkitan kita pada kali ini mestilah disusun dengan rapat dan rapi supaya jangan dapat lagi diperjudikan oleh Pengkhianat Bangsa dan Tanah Ayer yang bertopengkan pura-pura menjadi PENYELAMAT BANGSA.


Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 2, Feb 1947


PUISI PERJUANGAN PENYEDAR BANGSA

BERMULANYA DETIK PERJUANGAN
Oleh Majid Salleh





Pada akhir-akhir tahun 1945
tahun empire Jepun menyerah kalah
detik jajahan Jepun hancur musnah
detik ‘ohayo gozaimas’ mula dilupakan
diganti semula dengan ‘good morning’

Pada saat-saat itulah juga awal mula pertama mula
bangsa Melayu mengukir sejarah
sejarah yang tak kunjung padam
sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan
menerusi sebuah pertubuhan parti politik

PKMM nama badannya
Parti Kebangsaan Melayu Malaya nama penuhnya
Malay Nationalist Parti nama Inggerisnya
ditubuhkan di Ipoh, Perak

Para penajanya terdiri dari budak-budak
nakal belaka
budak-budak yang berumur di bawah 30 tahun
budak-budak yang tidak punya apa-apa kelulusan

Di antara budak-budak penajanya
Ahmad Boestamam dari Behrang, Tanjung Malim, Perak
Baharuddin Tahir dari Kuala Kangsar, Perak
Mokhtaruddin Lasso dari Bidor, Perak
Abdullah CD dari Lambor, Perak
Dahari Ali dari Sungai Raya, Kampung Kepayang, Perak
Swito dari Ayer Kuning, Kampar, Perak
Arshad Ashaari dari Bidor, Perak
Musa Ahmad dari Pengkalan Baru Gopeng, Perak
Rahman Rahim dari Tanjung Rambutan, Perak
Dan… dan… ramai lagi

Pada awal tahun 1946 datang Dr. Burhanuddin
datang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) sekarang doktor
datang Shamsuddin Salleh, penulis dan pengarang
datang Cikgu Harun Aminurrashid
dan datang… datang mencurah-curah

PKMM tertubuh di seluruh pelusuk tanah air
dari Timur ke Barat dan
dari Utara ke Selatan hingga ke Singapura

Puak-puak yang mula-mula menerima
ialah rakyat jembel, orang-orang kampung
orang-orang buta huruf, rakyat jelata
rakyat tertindas, rakyat miskin

Orang-orang kaya jangan diharap
apa lagi orang berpangkat
orang-orang mengerat jauh sekali

Ayuh berjuang! Seru pemimpin
Maju sekarang! Sahut pengikut


Sumber: 'Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh' Penerbit UKM, 2004



No comments:

Post a Comment